kongsi cerita2 menarik

Thursday, February 17, 2011

Norhuda Brig Jen wanita pertama Tentera Darat

ZULKIFELI dan Noraini (kanan) memakaikan pangkat Brigedier Jeneral kepada   Norhuda   pada majlis pemakaian pangkat pegawai-pegawai kanan Tentera Darat di Kementerian Pertahanan di ibu negara, semalam.
ZULKIFELI dan Noraini (kanan) memakaikan pangkat Brigedier Jeneral kepada Norhuda pada majlis pemakaian pangkat pegawai-pegawai kanan Tentera Darat di Kementerian Pertahanan di ibu negara, semalam.
Pengiktirafan ATM untuk pegawai dari kalangan Tugas Am

KUALA LUMPUR: Ketua Cawangan ASEAN, Pusat Integrasi Perisikan (IIC) Direktorat Strategik Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Tentera Darat, Kolonel Norhuda Ahmad, mencatat sejarah apabila menjadi pegawai kanan wanita pertama dari senarai Tugas Am dalam perkhidmatan itu yang dinaikkan pangkat sebagai Brigadier Jeneral

Berikutan kenaikan pangkat itu, Norhuda, 54, yang sudah menabur bakti selama 33 tahun bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), turut dilantik sebagai Pengarah Direktorat Latihan, Tentera Darat.
Kenaikan pangkat Norhuda bersama 26 lagi pegawai kanan dalam perkhidmatan itu diumumkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin pada Majlis Pemakaian Pangkat di Wisma Transit, Padang Tembak, di sini, semalam.

Norhuda ketika ditemui selepas majlis berkenaan, melahirkan rasa syukur dan bangga atas kenaikan pangkat itu serta menganggapnya sebagai pengiktirafan Tentera Darat atas sumbangan dan khidmat baktinya sejak 1978.

Anak kelahiran Johor Bahru itu berkata, kenaikan pangkat itu adalah cabaran baru yang perlu dilaluinya dengan penuh rasa tanggungjawab apa lagi sebagai pegawai kanan wanita untuk menaikkan lagi imej Tentera Darat.

“Pelantikan ini juga membuktikan golongan wanita tidak pernah dipinggirkan dalam ATM dan sesiapa saja yang berkelayakan akan mendapat kenaikan pangkat,” katanya yang ditemani ibu, Noraini Abdullah, 76.
Beliau turut melahirkan rasa sedih kerana kejayaannya itu tidak dapat diraikan bersama bapanya, bekas pegawai Jabatan Penjara, Allahyarham Ahmad Saadon yang meninggal dunia pada 2006 yang juga individu paling kuat memberikan sokongan terhadapnya.

Sebelum ini, jawatan Brigadier Jeneral wanita adalah dari kalangan pegawai kanan profesional terutama doktor tentera dan ini ada-lah kali pertama pegawai kanan wanita dari Tugas Am dilantik ke pangkat berkenaan.

Pada majlis sama, enam Brigadier Jeneral turut diumumkan kenaikan pangkat ke Mejar Jeneral iaitu Brigadier Jeneral Datuk Md Azman Rosli, Brigadier Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki; Brigadier Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar; Brigadier Jeneral Datuk Rohisha Yahaya; Brigadier Jeneral Datuk Ishak Yeop Hamzah dan Brigadier Jeneral Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin.

Selain itu, tiga pegawai bukan Melayu turut dinaikkan pangkat iaitu Lt Kolonel Wee Han Siew (ke Kolonel); Mejar S Patmanathan (Lt Kolonel) dan Mejar N Subramaniam (Lt Kolonel).

Sementara itu, Zulkifeli dalam ucapannya berkata, semua pegawai kanan yang dinaikkan pangkat itu diharap dapat terus melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh komitmen, keikhlasan dan kejujuran.

Beliau berkata, mereka mendapat peluang kenaikan pangkat selepas diberikan pertimbangan sewajarnya atas kebolehan masing-masing termasuk dari aspek pengetahuan intelektual dan pengalaman.

“Penilaian untuk kenaikan pangkat dibuat berdasarkan beberapa aspek dan merit tanpa mengira sama ada seseorang itu adalah pegawai lelaki atau wanita,” katanya.

1 comment:

  1. Saya ada buat entry khas sempena sambutan ulangtahun 78 Tentera Darat. Silalah berkunjung ke http://ditelanzaman.blogspot.com/2011/03/pakaian-tempur-celoreng-tentera-darat.html

    ReplyDelete