kongsi cerita2 menarik

Thursday, February 17, 2011

Bahasa Inggeris di prasekolah

Penekanan boleh, tapi jangan pinggirkan bahasa Melayu kerana semua bahasa penting

PADA 7 Februari lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dilaporkan berkata, bahasa Inggeris perlu diberi keutamaan dalam sistem pendidikan prasekolah sama ada kerajaan mahupun swasta kerana pendedahan pada awal usia penting dan dapat membantu menyelesaikan banyak perkara apabila mereka berada di alam persekolahan. 

 Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, menyambut baik cadangan itu memandangkan ia berada dalam kerangka Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
“Bagaimanapun sekiranya cadangan itu ingin direalisasikan, ia perlu dilaksanakan dengan bijaksana. Kita juga perlu bijak membezakan, bahasa Inggeris itu dipelajari kerana kepentingannya sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa sumber ilmu,” katanya ketika diminta Sastera mengulas kenyataan Dr Awang Adek.

Baginya sekiranya cadangan itu dilaksanakan, maka ia mestilah bukan untuk mengetepikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti dihasratkan dalam MBMMBI yang digubal untuk menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

“Cadangan seperti ini sememangnya perlu bagi memperkasakan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara. Apatah lagi hari ini masih ada senario pelajar universiti gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Kita belajar bahasa Inggeris kerana kedudukannya sebagai bahasa perhubungan antarabangsa dan bahasa sumber ilmu.

“Dari segi kekuatan dan kesempurnaan, bahasa Melayu sama sempurna dengan bahasa Inggeris. Ia menjadi bahasa negara sejak merdeka dan perkara itu wajib dikekalkan. Dasar MBMMBI yang diperkenalkan akan menjadikan kedua-dua bahasa ini sama kuat.
“Malah, bahasa Melayu bukan saja kuat malah sangat unik. Dari segi sistem ejaannya, sejak ia diperkenalkan pada 16 Ogos 1972, tidak pernah ia dipinda dalam bentuk apapun. Ini menunjukkan sistem ejaan bahasa Melayu adalah sistem yang sangat berkesan dan tidak perlu diperkemaskan.

“Bahasa Melayu juga mempunyai dua sistem tulisan, jawi dan rumi. Hakikat ini perlu ditonjolkan kerana ia satu-satunya bahasa yang mempunyai dua sistem tulisan dan sangat mantap. Selain itu kosa katanya besar, istilahnya banyak untuk pelbagai bidang dan nahunya baku,” katanya.

Baginya penekanan kepada bahasa Inggeris perlu dibuat berdasarkan keperluan dan tidak sesekali mengetepikan hak bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan kerana itu rakyat Malaysia perlu yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu, khususnya untuk memajukan bangsa dan negara.

“Keyakinan ini berasaskan korpus bahasa Melayu yang sempurna dan sudah melalui evolusi yang panjang. Ia perlu bertahan agar kekal berkembang. Bahasa Inggeris tidak diciptakan Tuhan sebagai satu-satuntya alat yang boleh memajukan manusia,” katanya.

Prof Teo menjelaskan, hakikat bahasa Melayu meminjam istilah daripada bahasa asing termasuk Inggeris adalah antara faktor yang menyumbang kepada kekuatannya, selain pinjaman istilah daripada bahasa asing suatu perkara lumrah dalam bahasa apa pun di dunia ini termasuk bahasa Inggeris yang meminjam amuk dan rotan daripada bahasa Melayu.

Timbalan Dekan (Prasiswazah dan Pemajuan Pelajar), Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Wan Robiah Meor Osman berkata, cadangan Dr Awang Adek wajar dalam konteks membolehkan pelajar menguasai lebih daripada satu bahasa, tetapi ada baiknya penekanan kepada bahasa Melayu juga dibuat.

“Banyak pihak di Malaysia berpendapat, semua rakyat Malaysia boleh berbahasa kebangsaan dengan baik. Justeru bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa perlu diberi lebih penekanan, sedangkan ini bukan suatu fakta yang benar kerana rakyat negara ini tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik juga ramai,” katanya.

Wan Robiah berkata, walaupun bahasa Melayu sudah menjadi bahasa rasmi negara sejak merdeka, namun di institusi pengajian tinggi masih lagi wujud senario mahasiswa yang bukan saja gagal berbahasa Inggeris, malahan gagal juga berbahasa dan menulis bahasa Melayu dengan baik!

“Tidak salah meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi jangan sampai meminggirkan bahasa Melayu. Apa yang terjadi di kebanyakan institusi pengajian tinggi hari ini, pelajar boleh bercakap bahasa Melayu dengan baik, tetapi tidak boleh menulis dengan sempurna,” tegasnya.

Baginya sesetengah pelajar Melayu berpendapat bahasa Melayu tidak perlu dikuasai kerana ia bahasa yang digunakan sehari- hari, tetapi malangnya, mereka hanya lancar bertutur, tidak dalam penulisan sehingga kesalahan penggunaan ayat, tatabahasa dan tanda baca suatu kesilapan lazim.

“Keadaan ini berbeza dengan pelajar bukan Melayu. Walaupun mereka tidak lancar bertutur bahasa kebangsaan, tetapi mereka mampu menulis dengan sangat baik. Bahasa Melayu dan Inggeris sama-sama penting. Sentimen kenegaraan perlu ada. Apa makna menjadi rakyat Malaysia, jika gagal menguasai bahasa kebangsaan?”.

Ketua Jabatan Linguistik Melayu, Universiti Malaya (UM), Dr Ahmad Ramizu Abdullah pula berkata, bukan saja bahasa Inggeris perlu diberi pendedahan awal kepada pelajar prasekolah, tetapi juga bahasa lain termasuk Melayu, Arab dan seumpamanya kerana pada usia sedemikian mereka dapat menangkap apa juga yang dipelajari dengan mudah.

“Bahayanya bila orang politik membuat kenyataan bahawa prasekolah perlu memberi penekanan kepada pengajaran bahasa Inggeris akan disalah tafsir. Orang Malaysia selalunya akan menafsir kenyataan itu sebagai hanya bahasa Inggeris yang perlu diberi keutamaan dan bahasa Melayu diketepikan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment