Setiap tahun, kira-kira 20,000 ekor burung pemangsa berlegar sekitar
Tanjung Tuan dalam tempoh dua minggu
JERITAN burung bergema di angkasa. Bukan seekor dua, tetapi puluhan ekor terbang berkelompok. Jika bernasib baik, angka ini mencecah ratusan ekor. Bukan sebarangan burung. Menyaksikan burung pemangsa seperti helang di Tanjung Tuan amat menakjubkan. Jika pada waktu lain, burung ini terbang tinggi di langit, tetapi ketika ini jika bernasib baik tanpa menggunakan teropong pun boleh menyaksikannya.
Inilah
keunikan Tanjung Tuan yang menjadi pilihan burung pemangsa berkunjung
setiap tahun. Dulu fenomena ini kurang disedari, tetapi kebelakangan ini,
acara melihat burung pemangsa menjadi tarikan utama melewati sempadan.
Tanjung Tuan persinggahan burung pemangsa SETIAP tahun antara Februari hingga April, Tanjung Tuan, menerima tetamu istimewa yang menjadikan tanah tinggi menghadap Selat Melaka sebagai destinasi terkenal di kalangan pencinta burung seluruh dunia
Tetamu bergelar raja
di udara, burung pemangsa (raptor) singgah di tanjung ini ketika dalam
perjalanan pulang ke hemisfera utara.
Inilah bukti keagungan Tuhan, haiwan hebat ini tahu apa yang hendak dilakukan untuk meneruskan kehidupan. Selepas tempoh mengawan pada akhir musim panas, kebanyakan burung, termasuk pemangsa meninggalkan hemisfera utara, meliputi wilayah Siberia di Russia, Mongolia dan China, ke hemisfera selatan di Asia Tenggara yang kaya dengan makanan. Apabila musim bunga tiba, haiwan ini kembali ke hemisfera utara untuk melengkapkan kitaran kehidupan.
Walaupun waktu
penghijrahan berbeza mengikut spesies burung, kebiasaannya penghijrahan
ke hemisfera selatan berlaku antara September hingga November (musim
luruh) dan kembali semula ke utara antara Mac hingga Mei (musim bunga).
Ketika pulang ke hemisfera utara dari Sumatera, Tanjung Tuan seperti namanya, sebuah tanjung di Semenanjung Malaysia yang menghadap Pulau Rupat, Sumatera, adalah tempat persinggahan wajib burung pemangsa. Mengapa Tanjung Tuan menjadi pilihan sedangkan banyak kawasan lain yang mempunyai ciri fizikal sama seperti tanjung ini. Mengikut maklumat Projek Kajian Migrasi Raptor Asia, tempat persinggahan burung pemangsa tidak berubah sejak ribuan tahun lalu dengan kawasan yang menjadi pilihan ialah tanah tinggi dan tanjung menghadap selat. Oleh itu, tidak hairan beberapa tempat di negara ini seperti Taiping, Perak, malah Bukit Melawati dekat Kuala Lumpur, menjadi tempat persinggahan burung pemangsa. Bagaimanapun, Tanjung Tuan mempunyai kedudukan istimewa menyebabkan Kelab Burung Oriental (OBC) meletakkan tempat ini antara 10 lokasi persinggahan utama burung pemangsa di Asia Timur. Kalangan pakar burung berpendapat bahawa burung pemangsa memerlukan termal, iaitu udara panas dari bahang matahari yang menimpa daratan untuk terbang di udara. Termal dari tanah tinggi dan kawasan rendah membolehkan burung meluncur ke angkasa dan meneruskan perjalanan. Selepas suatu tempoh tertentu, proses mendapatkan termal berulang hingga tiba di destinasi. Ibarat sebuah kereta yang hendak memulakan perjalanan jauh melalui lebuh raya, begitulah burung pemangsa. Haiwan ini yang datang dari Sumatera melintasi Selat Melaka dan selepas melalui udara sejuk memerlukan termal untuk perjalanan lebih jauh. Tempat yang paling hampir di tanah besar Asia dengan Sumatera ialah Tanjung Tuan menyebabkan tanjung bertuah ini menjadi pilihan helang untuk berehat dan mendapatkan termal. Berbeza dengan tempat persinggahan lain di Asia Timur, Tanjung Tuan dikelilingi kawasan yang maju dan berhampiran Port Dickson menyebabkan tempat ini menjadi tumpuan pencinta burung untuk menyaksikan fenomena alam ini. Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan serta pelbagai agensi kerajaan lain dan sektor swasta mengadakan Minggu Melihat Burung Pemangsa atau RWW (Raptor Watch Week). Bermula sejak tahun 2000, RWW ke-9 pada tahun ini diadakan di Tanjung Tuan pada 15 dan 16 Mac lalu. Presiden MNS, Anthony Sebastian, berkata RWW kini menjadi program yang semakin mendapat tempat di kalangan pencinta burung bukan saja di negara ini, malah seluruh dunia. Katanya, RWW adalah satu-satunya program melihat burung pemangsa di Asia Tenggara, manakala Tanjung Tuan disenaraikan sebagai lokasi burung pemangsa utama oleh BirdLife International, National Geographic Society dan Hawk Mountain. |
Peminat burung menggunakan teropong melihat aksi burung helang diTanjung Tuan, melaka. |
Peminat burung mengunjungi ke rumah api, Tanjung Tuan, Melaka. |
|
PENGUNJUNG melihat dari dekat burung helang di Tanjung Tuan. |
|
“Matlamat MNS ialah meningkatkan kesedaran di
kalangan rakyat mengenai keajaiban alam yang berlaku di negara ini. Pada masa sama, kita mahu melindungi Tanjung Tuan sebagai hutan hujan tropika pantai yang amat berharga kepada negara,” katanya. Anthony berkata, melindungi Tanjung Tuan bermakna tempat persinggahan burung pemangsa sejak ribuan tahun lalu akan berterusan. Selain itu, katanya masyarakat perlu dididik mengenai isu perubahan iklim yang sedikit sebanyak akan menjejaskan Tanjung Tuan dan penghijrahan burung pemangsa secara keseluruhan. Tahun ini, dianggarkan kira-kira 3,000 pengunjung luar negara sejauh Austria, Sweden, United Kingdom dan Amerika Syarikat serta tidak ketinggalan negara jiran tetangga seperti Singapura dan Thailand, mengunjungi Tanjung Tuan. Berbekalkan pelbagai jenis teropong dan kamera, pencinta burung menunggu di tempat strategik dan menjelajah kawasan hutan untuk menyaksikan kehadiran burung pemangsa yang kadang-kadang terbang rendah. Bagaimanapun, masa terbaik adalah antara 11 pagi hingga 3 petang, iaitu ketika burung pemangsa mendapatkan termal. Bagaimanapun, rekod lalu MNS mendapati masih ada burung berterbangan kira-kira jam 6 petang. Setiap tahun secara purata, kira-kira 20,000 ekor burung pemangsa berlegar sekitar Tanjung Tuan dalam tempoh dua minggu. Tahun ini, kira-kira 17,000 burung dikesan, berbanding 26,000 ekor tahun lalu, manakala pada 2006, kira-kira 19,000 ekor dilihat. Walaupun RWW hanya selama dua hari, peminat burung masih boleh mengunjungi Tanjung Tuan untuk melihat kelibat burung pemangsa. Kehadiran burung pemangsa amat penting dari segi ekosistem kerana haiwan ini berada di puncak rantaian makanan. Kewujudan haiwan ini bergantung kepada keadaan ekosistem secara keseluruhan. Penurunan bilangan burung pemangsa bermakna ada masalah dalam ekosistem yang akhirnya akan turut membahayakan manusia. Mengekalkan alam sekitar, terutama Tanjung Tuan dan tempat lain di negara ini dalam keadaan semula jadi adalah antara cara haiwan dan manusia terus sejahtera. INFO: Burung pemangsa
Burung pemangsa bukan hanya helang (eagle).
Haiwan ini sebenarnya mempunyai pelbagai nama lain mengikut saiz haiwan itu. Helang biasanya mempunyai saiz besar, kepak lebar dan kaki besar.
Hawk juga adalah helang, tetapi saiz sederhana,
manakala Kite adalah helang yang mempunyai kepak panjang dan kaki lemah. Buzzard pula helang yang mempunyai badan besar, manakala Harrier walaupun besar tetapi dibezakan dengan ekor panjang. Falcon adalah helang bersaiz kecil, manakala burung hering dikenali dengan kepala botak dan leher tidak berbulu. Burung hantu juga termasuk dalam kategori burung pemangsa.
Burung pemangsa mencari makanan
menggunakan kelebihan fizikal seperti penglihatan tajam, kuku sangat tajam dan ketangkasan di udara.
Ada 25 spesies yang berhijrah ke Malaysia.
Sebanyak 421 spesies di seluruh dunia
dengan 288 adalah spesies siang hari dan 133 malam hari.
Malaysia mempunyai 46 spesies tempatan.
Helang Tompok Besar adalah spesies
penghijrah terbesar di Malaysia, manakala Kite Hitam adalah spesies tempatan terbesar.
Spesies penghijrah terkecil adalah Eurasian
Kestrel, manakala spesies tempatan terkecil ialah Falcon Peha Hitam.
Makanan burung pemangsa termasuk tikus,
ayam, burung lain, burung pemangsa lebih kecil, larva lebah, serangga dan reptilia.
Lima spesies utama burung pemangsa yang boleh
dilihat di Tanjung Tuan selepas menyeberangi Selat Melaka adalah Buzzard Lebah Timur (Pernis ptilorhyncus), Helang Baza Hitam (Aviceda leuphotes), Lang Sewah Jepun (Accipiter gularis), Lang Sewah Cina (Accipiter soloensis) dan Buzzard Kepala Kelabu (Butastur indicus). Tanjung Tuan adalah milik Melaka, tetapiterletak dalam Negeri Sembilan. Kira-kira 16 kilometerdi selatan Port Dickson.http://www.jpvpk.gov.my/html/news/archives/Malay/berita/Mac08%2023.htm |
kongsi cerita2 menarik
Saturday, April 21, 2012
Tarikan helang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment